mutakhir

Umat Islam tidak pernah berhenti sokong Palestin

Oleh Zulfa Mohamad

SERAMAI 200 jemaah Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal, Pajak Song, Kepala Batas berhimpun secara aman sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin membebaskan Masjid Al-Aqsa, petang ini.

Turut terbabit dalam perhimpunan selama 30 minit selepas solat Jumaat itu ahli Gabungan Ahli Masjid Pulau Pinang (GAMPP), Kelab Amanah Rakan Industri Bersatu (KARIB) dan Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (MAPIM).

Pengerusi GAMPP Khairol Fitri Kiraman berkata, perhimpunan aman berkenaan adalah usaha kecil rakyat negara ini yang simpati dengan nasib warga Palestin yang dinafikan hak mereka untuk memasuki Masjid Al-Aqsa.

Katanya, umat Islam perlu bersatu dalam isu Palestin kerana Masjid Al-Aqsa adalah milik semua umat Islam.

"Kita berhimpun untuk sampaikan mesej kepada rakyat Palestin bahawa kita menyokong perjuangan mereka.

"Kita tidak boleh hanya berseronok sedangkan rakyat Palestin berjuang sendirian untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa dari cengkaman Yahudi," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 4:16pm
d