mutakhir

Ingatkan bekerja rupanya berjudi

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SEORANG penjawat awam antara enam individu yang ditahan dalam Op Dadu di sebuah premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian siber di Jalan Rasah, Seremban, pagi ini.

Mereka yang berusia antara 20-an hingga 40-an terbabit ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, dalam serbuan jam 8.30 pagi.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, ketika serbuan dilakukan terdapat dua pelanggan lelaki beragama Islam termasuk seorang penjawat awam di premis berkenaan.

Kita (JHEAINS) menahan kedua-dua lelaki itu mengikut Seksyen 79A Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 2004 kerana kesalahan berjudi atau berada di premis perjudian.

"Selain itu, polis turut menahan tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki penjaga premis itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Zaki berkata, peralatan perjudian dan wang pertaruhan turut dirampas pihak polis dan semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Sikamat untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 5:56pm
d