mutakhir

PERKIM Klang sedekah makanan

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

PERTUBUHAN Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Klang mengedarkan 60 bungkus nasi berlauk serta air kepada asnaf dan golongan memerlukan di Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang hari ini.

Ia adalah inisiatif PERKIM cawangan Klang untuk membantu golongan memerlukan sekali gus meringankan beban mereka.

Presidennya, Hushim Salleh berkata, itu anjuran kali pertama pihaknya selepas menerima sumbangan daripada orang ramai.

"Alhamdulillah, selepas menerima sumbangan daripada mereka yang prihatin kita dapat menyumbangkan makanan ini kepada asnaf dan fakir miskin yang datang ke masjid hari ini.

"Buat permulaan, kita menyediakan 60 bungkus makanan dan minuman walaupun sumbangan ini tidak semewah mana.

"Insyallah pemberian ini akan dilakukan secara berterusan setiap minggu terutama pada Jumaat dan golongan ini boleh mengambilnya di Restoran PERKIM masjid ini," katanya.

Beliau berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada Ahli Lembaga Tadbir masjid berkenaan.

Sementara itu mualaf, Muhammad Ashraf Kho Abdullah, 36, berkata, dia bersyukur masih ada masyarakat yang prihatin membantu memberi makanan kepada golongan asnaf sepertinya.

"Makanan ini dapat membantu kami golongan susah.

"Pada saya ia bukan bererti datang ke masjid untuk makan tetapi mengajak orang ramai menunaikan ibadah bersama," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 6:27pm
d