mutakhir

3,200 karton rokok seludup dirampas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PIHAK Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menahan seorang lelaki warga Malaysia dan merampas 3,200 karton rokok yang disyaki cuba dielakkan daripada bayaran cukai ketika masuk ke negara itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, pegawai ICA mengarahkan sebuah lori yang didaftarkan di negara ini dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun untuk pemeriksaan lanjut di pintu masuk Woodlands.

Menurut kenyataan media di portal ICA, ketika pemeriksaan, pegawai ICA itu mengesan sesuatu imej menerusi imbasan yang dibuat pada lori itu yang dilabel sebagai cawan wafer dan coklat.

"Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dibuat, ICA menjumpai sebanyak 3,200 karton rokok yang tidak membayar cukai disembunyikan antara barangan dalam lori itu.

“Pemandu, rokok dan lori itu kemudian diserahkan kepada pihak Kastam Singapura untuk siasatan dan kenderaan yang digunakan bagi melakukan perbuatan itu boleh dilucut hak," katanya.

ICA berkata, jumlah duti dan cukai barang dan perkhidmatan yang dielakkan pemandu lori itu berjumlah kira-kira SGD248,320 (RM781,765.17) dan SGD18,400 (RM57,927.19).

Pada masa sama, ICA memaklumkan bahawa sempadan mereka adalah pertahanan pertama dalam menjaga keselamatan negara berkenaan.

“Pemeriksaan keselamatan adalah penting bagi keamanan negara ini dan ICA akan terus melakukan pemeriksaan keselamatan pada penumpang serta kenderaan di pusat pemeriksaan untuk mencegah percubaan menyeludup masuk orang, ubat-ubatan, senjata, bahan peledak dan kontraband lain yang tidak diinginkan.

"Kaedah penyembunyian yang sama digunakan oleh penyeludup boleh digunakan pengganas untuk menyeludup senjata dan bahan peledak untuk melakukan serangan di Singapura," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 7:08pm
d