mutakhir

Tanah untuk kompleks jemaah dikenal pasti

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengenal pasti beberapa bidang tanah di Makkah dan Madinah untuk pembinaan bangunan atau kompleks sendiri bagi penempatan jemaah haji pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bagi pengambilan tanah itu, pihaknya sudah membuat perbincangan dengan ahli lembaga pengarah.

Katanya, usaha pengambilan tanah yang bakal dibina kompleks itu adalah ilham Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi keselesaan jemaah haji dan umrah negara ini.

"Proses pengambilan beberapa bidang tanah berkenaan dijangka akan selesai hujung tahun ini termasuk proses menandatangani perjanjian dengan Kerajaan Arab Saudi.

"Pembinaan bangunan sendiri itu dapat menjimatkan kos TH bagi setiap musim haji dan memberi manfaat kepada jemaah haji serta umrah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rantau Panjang 2017 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Pasir Mas, hari ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan menanggung kos subsidi jemaah haji lebih RM200 juta.

Akhbar sebelum ini melaporkan, hubungan antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Arab Saudi membolehkan rancangan membina Kompleks Tabung Haji di Makkah dan Madinah bakal terlaksana tidak lama lagi.

Permintaan itu disuarakan oleh kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini pada Februari lalu.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 8:48pm
d