mutakhir

PKBM Darat Terengganu kontinjen terbaik 2017

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PASUKAN Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat Terengganu dinobatkan kontinjen terbaik keseluruhan sempena Perkhemahan PKBM Darat Peringkat Kebangsaan Tahun 2017, hari ini.

Pasukan berkenaan dinobatkan juara keseluruhan selepas memenangi dua kategori pertandingan iaitu merentas halangan dan pandu arah bagi kadet lelaki.

Panglima Medan Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin berkata, 14 kategori dipertandingkan termasuk menembak dan kawad bagi kadet lelaki serta wanita.

“Program ini dapat melahirkan individu berdisiplin, bersemangat patriotik dan mempunyai daya kepimpinan.

“Bagi mencapai matlamat ini, ia bukan hanya bergantung kepada peranan dan kesungguhan seseorang kadet PKBM malah memerlukan peranan di semua peringkat lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Perkhemahan PKBM Darat Peringkat Kebangsaan 2017 di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau berkata, perkhemahan itu dapat mengeratkan dan meningkatkan persefahaman serta kerjasama antara masyarakat awam dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Tahun lalu, ahli kadet PKBM yang direkodkan berjumlah 14,334 orang daripada 262 sekolah di seluruh negara,” katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2017 @ 9:20pm
d