mutakhir

Tambah 10 peratus

Oleh Siti Fatimah Hassan

Selayang: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai eksport durian pada tahun ini meningkat 10 peratus berbanding RM60 juta yang dicapai pada tahun lalu khususnya disumbang oleh pasaran di China.

Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak berkata, biarpun hasil pengeluaran menunjukkan sedikit pengurangan pada tahun ini namun pihaknya yakin bekalan akan pulih semula pada tahun depan.

Katanya, buat masa ini, Malaysia mengeksport durian ulas dan durian pes daripada jenis D24 dan D197 atau lebih dikenali sebagai Musang King ke China.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada jumlah pengeluaran dan ketika ini ia berkurangan sedikit dan sekali gus menjejaskan jumlah eksport ke luar negara.

“Namun kita tahu ada pasaran untuk durian di negara luar. Berdasarkan strategi FAMA, kita berhasrat menambah 10 peratus nilai eksport berbanding RM60 juta pada tahun lalu.

“Apa yang kita lihat pokok durian kembali berbunga dan ia mengambil masa 100 hari untuk berbuah. Dijangkakan ia berlaku pada Januari dan Disember sebelum eksport boleh dilakukan.

“Dalam usaha membantu pengeluaran, kita melakukan kaedah cantuman dewasa dengan mencantumkan pucuk Musang King dengan tunas pokok durian biasa. Melalui kaedah ini, tempoh dapat disingkatkan dari 10 tahun ke tiga tahun untuk mendapatkan hasil,” katanya pada sidang media di program My Best Buy sempena Penang Day 2017, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin serta Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputra Pulau Pinang Datuk Muhamad Farid Saad.

Program itu memperkenal dan mempromosikan produk hasil asas tani keluaran Pulau Pinang selain memberi ruang kepada usahawan negeri terbabit mengembangkan aktiviti perniagaan masing-masing.

Sehingga 20 Julai lalu, program sama diadakan di 129 lokasi dengan nilai urus niaga mencecah RM6.91 juta membabitkan 1,590 usahawan di seluruh negara.

Selain itu, Ahmad berkata, pihaknya juga sedang berusaha membangunkan produk berasaskan durian yang berpotensi sebagai salah satu segmen baru pasaran.

“Kita sedang bangunkan produk berasaskan durian yang dilihat banyak potensi dan memberi peluang kepada pembabitan ramai usahawan terutama kecil dan sederhana,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 6:06am
d