mutakhir

Ini rumah...

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: “Ini rumah nenek, rumah bapa saudara selain rumah sepupu saya.”

Itu antara alasan popular diberikan beberapa penghuni tidak sah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Intan Baiduri kepada anggota penguat kuasa dalam operasi pemeriksaan, kelmarin.

Bagaimanapun, cubaan mereka menipu anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) gagal selepas ada antara mereka tidak berjaya menghubungi ataupun langsung tidak mengenali pemilik sebenar rumah berkenaan.

Pemeriksaan bermula jam 9 malam kelmarin turut mendapati penghuni yang tinggal di rumah berkenaan sebenarnya adalah penyewa yang menyewa dengan kadar bayaran sehingga RM500 sebulan.

Lebih mengejutkan lagi, ada antara penghuni berkenaan yang mengaku sudah tinggal lebih 12 tahun di rumah sewa itu secara tidak sah dan langsung tidak menepati kelayakan untuk mendapat rumah PPR.

Dalam Operasi Rampasan Unit Bersepadu Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti (JPPPK) DBKL itu, 35 rumah disita selepas didapati disalah guna ketua rumah termasuk menyewakannya kepada orang lain.

Pengarah JPPPK DBKL Wan Mohammad Ghazali Nor berkata, operasi ini dijalankan berdasarkan bancian dilakukan pihaknya yang mendapati terdapat 35 unit rumah melanggar kesalahan iaitu sama ada penyewa tidak menetap ataupun penghuni tidak sah.

Katanya, tindakan rampasan ini terpaksa dilakukan kerana ramai lagi pihak yang memerlukan dan layak tetapi tiada unit rumah kosong untuk diberi kepada mereka.

“DBKL terpaksa bertegas dalam hal ini kerana banyak kegiatan dikesan dilakukan di rumah PPR. Malah sepanjang tahun ini, kami sudah merampas 554 unit rumah atas kesalahan sama termasuk menyewakannya kepada warga asing,” katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 6:09am
d