mutakhir

Ikut fatwa

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, ini kerana JPN melalui Jabatan Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu ke Mahkamah Persekutuan.

“JPN ingin menjelaskan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes pendaftaran kanak-kanak orang Islam mengikut Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memutuskan mana-mana kanak-kanak dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

“Adalah dimaklumkan Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah membuat keputusan mengikut undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak itu dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

“Oleh itu, tindakan yang dilakukan JPN adalah selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Mohd Yazid berkata, mengenai keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu, yang memihak kepada pemohon seperti yang dilaporkan media, JPN melalui Jabatan Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan semasa di JPN berkaitan penasaban anak tak sah taraf orang Islam adalah diteruskan seperti sedia ada.

“Sebarang pindaan terhadap pelaksanaan semasa hanya akan dipertimbangkan selepas keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh,” katanya.

Semalam media melaporkan, Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman penting memutuskan anak tidak sah taraf boleh ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ bapanya.

Mahkamah juga memutuskan Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Dalam keputusan setebal 29 muka surat, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dipetik berkata, bidang kuasa Ketua Pengarah JPN adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak sudah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak sah taraf Islam dan bukan Islam.

Beliau dilaporkan berkata, ketua pengarah berpandukan prosedur menurut BDRA dan tugasnya ialah meluluskan permohonan pendaftaran sekiranya semua keperluan mengikut akta itu dipenuhi.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 6:28am
d