mutakhir

Jejaka fondant

Oleh Ainul Durmahyanty Durming

Lahad Datu: Siapa sangka bermula dengan menghadiri kursus membuat kek lapis Sarawak bersama ibu mencetuskan minat seorang lelaki dalam perniagaan kek berasaskan fondant.

Kini, selepas hampir empat tahun, Fariqzul Barik, 33, boleh berbangga apabila kek yang dihasilkannya mula mendapat permintaan daripada pelanggan di sekitar daerah ini.

Menceritakan pembabitannya dalam perniagaan kek fondant itu, Fariqzul berkata, dia bermula dengan membuat kek fondant berbentuk logo Instagram dihasilkan untuk kakaknya pada 2013.

Anak ketiga daripada empat beradik ini berkata, bertitik tolak dari situ, ia membuka pintu rezeki buatnya untuk bergiat aktif dalam pembuatan kek yang berasaskan fondant.

Bagaimanapun, dia perlu bersabar dalam mengusahakan perniagaan seumpama itu di daerah yang kecil kerana masyarakat mengambil masa yang lama untuk menerima pembuatan kek menggunakan fondant.

“Pada waktu itu, penggunaan fondant sebagai dekorasi kek masih belum meluas lagi,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini.

Menurutnya, dia tidak mengikuti pembelajaran formal dalam pembuatan dan mendekorasi kek, tetapi sering mengikuti kursus jangka pendek di samping sentiasa cuba untuk mencabar kemampuan diri.

“Pengkhususan saya sewaktu belajar adalah dalam bidang pelancongan, tetapi hati saya begitu dekat dengan bisnes dan pembuatan kek.

“Keutamaan saya dalam pembuatan kek adalah kepuasan hati pelanggan. Apabila saya menghantar sendiri kek itu dan melihat reaksi mereka yang gembira...dari situ kita boleh menjangka potensi mereka mengesyorkan nama saya kepada orang lain,” katanya.

Mengusahakan perniagaan membuat kek yang memerlukan ketelitian dan sering dikaitkan sebagai kerjaya pilihan wanita, Fariqzul berkata, ada kalanya dia berdepan dengan pandangan skeptikal masyarakat.

Malah, katanya, ada yang beranggapan dan melabel lelaki yang berkecimpung dalam bidang masakan atau pembuatan kek sebagai lelaki lembut.

“Tidak dinafikan lelaki bekerja pembuat kek adalah agak janggal buat segelintir masyarakat, tetapi mereka mulai berubah,” katanya.

Berkat kesabarannya, satu daripada keknya menjadi tular dan dia menamakan kek itu Kek KFC Viral.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 6:43am
d