mutakhir

Elak masalah lebih muatan

Oleh Nasharuddin Muhammad

Jemaah haji dinasihatkan untuk menggunakan khidmat syarikat vendor yang dilantik Lembaga Tabung Haji (TH) untuk urusan pengeposan bagasi bagi mengelak berdepan masalah lebih muatan.

Pengurus Unit Khidmat Luar 1438 Hijrah Mohd Lotfi Kassim berkata, jemaah memang digalakkan menghantar barangan dibeli di Madinah atau Makkah lebih awal ke tanah air.

Beliau berkata, ia boleh mengelak jemaah daripada terpaksa membawa dan menjaga barangan berkenaan hingga menjejaskan tumpuan ibadat.

Menurutnya, sebagai contoh, bagi jemaah yang sudah tiba di Madinah, mereka boleh terus mengeposkan barangan yang dibeli di kota suci ini ke tanah air tanpa perlu membawanya ke Makkah.

“Perkhidmatan penghantaran yang disediakan syarikat vendor dilantik ini untuk kemudahan dan keselesaan jemaah.

“Tahun ini, TH melantik empat syarikat vendor untuk khidmat pengeposan bagasi iaitu Pos Malaysia, Nationwide, Shah Kargo Forwarding serta Koperasi TH sendiri,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata, kadar bayaran ditetapkan ialah SR16 bagi setiap kilogram bagasi yang dikirim ke Semenanjung dan SR20 ke Sabah dan Sarawak tidak termasuk harga kotak berdasarkan pilihan jemaah yang bersaiz kecil, sederhana dan besar.

Katanya, bagi pengiriman bekalan air zam zam seberat 10 liter pula, kadar dikenakan untuk pembelian dan penghantaran ialah SR130 bagi Semenanjung dan SR150 bagi Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, bagi musim haji kali ini, pengurusan TH sudah menetapkan setiap jemaah hanya dihadkan pembelian satu botol air zam zam 10 liter.

Beliau berkata, berikutan pertambahan kuota jemaah haji bagi musim kali ini kepada 30,200 orang, pihaknya juga menjangkakan jumlah bagasi yang dikirimkan turut meningkat.

Mohd Lotfi berkata, pada musim haji 2016, pihaknya merekodkan sebanyak 335,000 kilogram atau 335 tan metrik barangan yang dihantar jemaah ke tanah air.

Menurutnya, pada 2016 juga, lebih 20,000 botol air zam zam dibeli dan dihantar jemaah ke tanah air.

“Pada 2016, tiada had kuota pembelian dikenakan menyebabkan terdapat jemaah yang tidak dapat membuat pembelian kerana kehabisan stok bekalan.

“Berikutan itu, tahun ini kita terpaksa mengehadkan pembelian dengan setiap jemaah hanya boleh membeli satu botol seberat 10 liter,” katanya.

Menurutnya, selain air zam-zam, barangan lain yang banyak dikirimkan jemaah ialah tamar, kekacang serta barangan cenderamata lain seperti sejadah dan pakaian.

Katanya, tempoh masa penghantaran yang ditetapkan ialah sekitar dua minggu dari tarikh penghantaran, namun ada juga barangan yang tiba lebih awal.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 6:54am
d