mutakhir

Tiga syarikat diserbu

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Pasukan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengunjungi tiga syarikat, semalam bagi mendapatkan maklumat berkaitan pembelian sebuah hotel di bandar ini oleh FELDA Investment Corporation (FIC).

Difahamkan, tiga kumpulan anggota SPRM hadir ke syarikat itu masing-masing terletak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Petanak dan Jalan Tun Abang Haji Openg, jam 10 pagi.

Tinjauan Harian Metro di syarikat perundingan hartanah di Jalan Petanak mendapati pasukan berkenaan yang diwakili empat pegawai SPRM dari Putrajaya dan Sarawak mengambil masa tiga jam untuk mendapatkan dokumen berkaitan.

Kumpulan pegawai berkenaan kemudian dilihat meninggalkan syarikat itu jam 1 tengah hari bersama beberapa dokumen dipercayai mempunyai kaitan dengan pembelian hotel berkenaan.

Sumber berkata, dua daripada syarikat itu berperanan sebagai ejen dan penilai harta dalam urusan pembelian hotel bertaraf empat bintang manakala sebuah lagi bekas pemilik hotel berkenaan sebelum dijual kepada FIC.

“Siasatan terhadap pembelian hotel itu dijalankan kerana wujud manipulasi harga berhubung nilai jualan yang jauh lebih tinggi daripada harga asal menyebabkan FIC menanggung kerugian ratusan juta ringgit.

“Maklumat mengenai pembelian hotel di Kuching itu diperoleh susulan siasatan awal membabitkan prosedur pembelian hartanah iaitu hotel dan pangsapuri servis di Kensington, London oleh FIC,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung pembelian hotel berkenaan.

FIC ditubuhkan FELDA pada 2013 sebagai usaha mempelbagaikan portfolio perniagaan, khususnya pelaburan hartanah, perhotelan dan hospitaliti.

Setakat ini, dua individu iaitu pengarah sebuah syarikat perundingan pengurusan aset berusia 45 tahun, dan Ketua Unit Harta sebuah syarikat perkhidmatan pos berusia 36 tahun ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 6:57am
d