mutakhir

Hukuman buahkan hasil

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: Sejak penubuhannya pada 1969, Penjara Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, di sini, kekal sebagai model penjara prabebas bagi Jabatan Penjara seluruh negara dengan menganjurkan kursus agrotani kepada banduan bakal menamatkan hukuman.

Dikenali sebagai Penjara Ladang Sinar Harapan pada awal penubuhannya, nama pusat tahanan menempatkan pesalah juvana itu ditukar kepada Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, mengambil nama bekas Pengarah Penjara Malaysia ketiga iaitu Datuk Murad Ahmad.

Dengan keluasan 29.5 hektar, kawasan penjara itu menjadi tempat lebih 350 banduan menjalani hukuman mempelajari kemahiran dalam bidang pertanian dan penternakan agar mereka lebih berdikari selepas dibebaskan kelak.

Pengarah Penjara Pra Bebas Dusun Datuk Murad, Penolong Komisioner Penjara (PKP) Zamzuri Ghani berkata, pelbagai inovasi agro diterapkan pihaknya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.

“Latihan banduan prabebas atau juga dipanggil Banduan Kemahiran Luar Penjara (BLKP) jalani di sini dapat membantu dan menambah minat mereka dalam bidang pertanian.

“Kepelbagaian inovasi agro diterapkan menjadikan mereka lebih yakin meneruskan kehidupan selepas dibebaskan, malah kemahiran dimiliki boleh diguna bagi menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Zamzuri berkata, hasil pertanian diusahakan dibekalkan ke Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Pusat Koreksional Jasin dan Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor.

Dia berkata, program dilaksanakan memberikan kesan positif dengan ramai banduan dilatih menerusi projek itu kini menjadi pengusaha ladang sayur-sayuran atau ternakan berjaya.

“Tak kurang ada dalam kalangan mereka sekarang bergelar ahli perniagaan.

“Buat masa ini, kami mengusahakan 1,000 pokok pisang dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) selain penternakan ikan keli yang menghasilkan satu tan ikan mentah seminggu.

“Dianggarkan, setiap tahun hasil jualan produk agrotani kami mencecah RM80,000, sekali gus membuktikan banduan ini boleh berjaya jika diberi tunjuk ajar dan dorongan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai program dalam menghasilkan produk hiliran seperti makanan ikan keli daripada sayur-sayuran dan benih ikan itu sendiri.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 7:05am
d