mutakhir

Pengundi Cina digesa kembali kepada BN

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Pengundi Cina digesa kembali kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan Gerakan serta menyedari yang mereka menjadi mangsa ditipu DAP selama dua penggal Pilihan Raya Umum (PRU).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada apa mampu dilakukan DAP meskipun parti pembangkang itu memiliki 38 kerusi di Parlimen, sebaliknya hanya BN sahaja mampu memperjuangkan hak rakyat.

"Oleh itu, 'Ini Kalilah' kita hancurkan mereka (DAP) pada PRU-14 akan datang. Zaman DAP akan merudum, empayar DAP akan pecah dan dinasti Lim akan runtuh.

"Saya seru orang Cina, cukup-cukuplah ditipu oleh DAP dan tiba masanya PRU-14 ini untuk patah balik kepada Barisan Nasional (BN)," katanya, ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, ramai pengundi Cina terpedaya dengan slogan "Ini Kalilah" yang dilaungkan pembangkang pada PRU ke-12 dan 13 sebelum ini namun agenda itu dilihat gagal serta tidak membantu mengubah nasih mereka.

Hadir sama Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Latiff Tamby Chik.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 12:27pm
d