mutakhir

Sedikit pun tak kecil hati

Oleh Ardini Sophia Sina

PENYANYI dan pelakon, Siti Nordiana Alias sedikit pun tidak kecil hati dengan komen negatif netizen mengenai gandingannya bersama Jaclyn Victor menerusi lagu Nisan Cinta yang menjadi lagu tema drama Dendam Aurora.

Katanya, dia sudah bersiap sedia berhadapan dengan situasi itu sebelum memulakan rakaman lagu berkenaan. Baginya, keadaan itu sudah menjadi asam garam hidup sebagai anak seni.

"Biasalah. Pasti ada saja yang tidak puas hati dengan kerjasama antara saya dan Jac. Memang ramai di YouTube yang mengatakan lebih baik kalau Jac berganding dengan penyanyi lain.

"Tapi, dalam banyak-banyak komen negatif ada juga yang memberikan pujian. Itu pun sudah cukup buat saya lega. Saya sebenarnya belajar banyak teknik dari Jac," katanya.

Mengusik Nana mengenai 'Nisan Cinta' dirinya, wanita itu hanya tersenyum dan tegas mengatakan mahu memberikan tumpuan pada kerjaya.

Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada beberapa individu yang cuba mendekati dan menghantar mesej menerusi Whatsapp dengan niat untuk mengenali lebih lanjut mengenai dirinya.

"Saya bukan lagi remaja yang beriya-iya sangat ketika membalas Whatsapp mereka. Ada yang cuba mendekati tapi saya tidak faham niat mereka itu untuk ke hubungan serius atau sekadar berkawan.

"Tambahan pula, saya tidak terlalu memikirkan mengenai pasangan hidup buat masa ini kerana ingin memberikan laluan pada kerjaya.

"Anak dan keluarga saya juga tidak pernah mendesak untuk saya sekali lagi mendirikan rumahtangga," kata Nana.

Nana pernah mendirikan rumahtangga dengan pelakon drama, Mohd Faizal Yusup pada 2006. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie, lahir pada 21 Mac 2008.

Namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila bercerai pada tahun 2009.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 2:53pm
d