mutakhir

JAKIM nantikan keputusan Mahkamah Persekutuan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai pendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu penasaban Anak Tidak Sah Taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarahnya Tan Sri Othman Mustapha berkata, pihaknya menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang dan berharap usaha JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar.

Sebelum ini, Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, pihaknya melalui Jabatan Peguam Negara sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei lalu ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya, JPN ingin menjelaskan keputusan Mahkamah Rayuan ke atas kes pendaftaran kanak-kanak orang Islam mengikut Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang memutuskan mana-mana kanak-kanak dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi sebelum ini sudah membuat keputusan mengikut undang-undang Islam, adalah tidak dibenarkan kanak-kanak dibinkan dengan nama orang yang mengaku diri sebagai bapa memandangkan kanak-kanak itu dilahirkan kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan ibu bapa.

Ia susulan laporan media kelmarin mengenai Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman penting memutuskan anak tidak sah taraf boleh ‘dibin’ atau ‘dibintikan’ bapanya.

Mahkamah juga memutuskan Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 3:08pm
d