mutakhir

Marang sebagai hab pendidikan Terengganu

Oleh Helmy Abd Rahman

KEMENTERIAN Pendidikan bersetuju untuk membantu merealisasikan cadangan menjadikan Marang sebagai hab pendidikan bagi Terengganu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Marang sememangnya sesuai untuk dijadikan hab pendidikan berikutan komitmen kerajaan membina beberapa buah lagi institusi pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

"Kita sokong untuk realisasikan Marang sebagai hab pendidikan, malah sejak lima atau enam tahun lalu lagi sudah ada perancangan membina sekolah sains selain sudah ada cawangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Kor.

"Oleh itu, kita akan lihat yang mana membabitkan kementerian, bagaimana kita boleh membantu untuk merealisasikan Marang sebagai hab pendidikan di Terengganu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Marang di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Marang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan negeri, A Latiff Awang; Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang Senator Zaiton Mat Amin dan Pengarah Pendidikan negeri Shafruddin Ali Hussin.

Terdahulu, A Latiff dalam ucapannya berkata, perancangan ke arah menjadikan daerah ini sebagai hab pendidikan antara lain membabitkan pembinaan kolej matrikulasi, kolej komuniti, sekolah khusus untuk pelajar tingkatan enam dan cawangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Kolej matrikulasi akan dibina di Kampung Serating, Mercang dekat sini di kawasan yang sudah dikenal pasti manakala kolej komuniti pula akan ditempatkan di Pekan Binjai Rendah.

"Bagi sekolah khusus untuk pelajar tingkatan enam di Kelulut pula membabitkan keluasan kira-kira 20 hektar," katanya.

Menurutnya, apabila muncul sebagai hab pendidikan negeri nanti, Marang secara tidak langsung menjadi pemangkin pembangunan dan ekonomi daerah.

"Di samping itu, ia akan merancakkan perkembangan pusat pertumbuhan baru antaranya membabitkan perumahan, kemudahan sukan dan rekreasi," katanya.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 5:38pm
d