mutakhir

Punca di bilik utama katanya

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

LIMA sekeluarga sempat menyelamatkan diri apabila rumah mereka terbakar di Taman Dato Shahbandar, Ampangan, Seremban, hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula dari bilik utama rumah teres setingkat itu sebelum merebak dan disedari penghuni yang segera lari menyelamatkan diri, pada kira-kira 5 petang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Jefri Mohd Uzus, berkata bomba menerima panggilan daripada seorang daripada penghuni berusia 43 tahun, pada 5.01 petang.

Menurutnya, dua jentera termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang dengan kekuatan 25 anggota segera ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, api sedang marak dan kita mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah berhampiran.

"Bomba mengambil kira-kira 15 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

“Kediaman itu musnah 80 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan keterangan mangsa, kebakaran bermula dari bilik utama.

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 7:40pm
d