mutakhir

'Kami risau tak sempat diselamatkan'

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

BOT Sea Wonder yang dilaporkan terputus hubungan, malam Jumaat, tiba di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Muara Tebas, malam tadi.

Bot yang membawa tiga krew bersama 12 pemancing berusia 26 hingga 70 tahun, tiba pada 9.20 malam.

Pengarah Maritim Kuching, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah, berkata semua krew dan pemancing tidak mengalami kecederaan.

Menurutnya, siasatan lanjut menunjukkan bot itu tidak mempunyai telefon satelit yang memudahkan tekong menghubungi pemilik atau APMM.

"Semua pemancing adalah rakyat tempatan dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam sidang media di Jeti APMM, di Muara Tebas.

Sementara itu, pemancing, Raymond Tan, 32, berkata dia bersama 11 rakannya bimbang sekiranya keadaan cuaca di laut bertukar ribut sementara menunggu bantuan.

Katanya, dia sudah beberapa kali memancing di kawasan berkenaan namun ini pengalaman pertamanya terkandas di tengah lautan.

"Saya bersyukur kerana ditemui dan berterima kasih kepada APMM kerana menghantar bantuan segera dan berjaya menunda bot ke jeti dengan selamat," katanya.

Terdahulu, portal berita Harian Metro melaporkan bot dinaiki 12 pemancing bersama tiga anak kapal gagal dihubungi.

Kapal Maritim KM Cekal yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat kemudian menemui bot berkenaan, pada kira-kira 11 pagi Sabtu, pada kedudukan 40 batu nautika utara Tanjung Sirik.

Berita berkaitan

Alhamdulillah, semua selamat

Sudah lebih 15 jam tanpa khabar

Disiarkan pada: July 29, 2017 @ 10:54pm
d