mutakhir

Naga mercu tanda Selangor

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Nor Asyikin Mat Hayin

Gombak: Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) atau turut dikenali sebagai Bukit Tabur diwartakan pada 18 Februari 2010 dengan keluasan lebih kurang 114 hektar sebagai Hutan Simpan Ulu Gombak Tambahan 1.

Ianya satu keajaiban geologi bertaraf dunia yang mempunyai nilai warisan tinggi dan menjadi permatang kuarza terpanjang di Asia Tenggara iaitu lebih kurang 14 kilometer.

Permatang ini dibentuk daripada bendalir hidroterma batuan granit melalui rejahan berbentuk ‘dyke’ di sepanjang sesar Kuala Lumpur dan kini dianggarkan berusia antara 122 hingga 200 juta tahun.

Di antara puncak tertinggi yang terdapat di sepanjang permatang ini adalah Bukit Batu Tabur (534 meter (m)), Bukit Rata (367m) dan Bukit Batu Chondong (322m).

Pada permukaan permatang ini terdapat banyak batuan kristal kuarza yang berbentuk seperti pensel yang juga tahan terhadap proses luluhawa.

Sekali pandang, permatang menyerupai bentuk seekor naga dan dianggap sebagai mercu tanda kepada Taman Negeri Selangor.

Dengan semua keunikan yang ada, tidak hairanlah jika Kerajaan Negeri Selangor berusaha supaya PKGS diiktiraf menjadi tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Penolong Pengarah Kanan (Ekopelancongan), Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Muhamad Azizun Jaafar berkata, kawasan permatang ini didominasikan oleh spesies Baeckea frutescens (Pokok cucur atap) yang berupaya beradaptasi hidup di batuan kuarza.

Di samping itu kawasan ini juga kaya dengan pelbagai spesies pokok renek yang sukar ditemui dan endemik seperti Aleisanthia rupestris, Ilex praetermissa, tumbuhan herba Borreria pilulifera, rumput Eulalia milsumii serta Henckelia primulina.

Selain itu, kawasan terbabit turut menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai spesies mamalia dan lebih 30 spesies katak yang mewakili lebih daripada satu per tiga populasi herpetofauna (kaum katak) di Semenanjung Malaysia.

Kata Muhamad Azizun, PKGS popular dalam kalangan pendaki tempatan dan luar negara kerana kawasan ini menyajikan sebuah panorama pemandangan bandar raya Kuala Lumpur dengan kehijauan hutan mengelilingi tasik yang menakjubkan.

Katanya, secara purata, 2,000 pengunjung dari dalam dan luar negara datang ke kawasan ini untuk menjalankan aktiviti mendaki setiap bulan. PKGS menjadi pilihan kepada penggiat aktiviti lasak kerana faktor bentuk muka buminya yang mencabar.

“Namun, kawasan itu kini ditutup kepada pengunjung buat sementara waktu sejak Ogos tahun lalu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf kemudahan bagi tujuan meningkatkan tahap keselamatan pengunjung.

“Meskipun menerima banyak bantahan ke atas tindakan penutupan sementara PKGS, namun pihaknya terpaksa berbuat demikian demi memastikan keselamatan pengunjung terjaga,” katanya.

Menurut Muhamad Azizun, sebelum ini, terdapat beberapa kes kemalangan dan kematian yang disebabkan oleh faktor kecuaian pendaki, justeru JPNS mengambil langkah yang drastik menyedia dan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi keselesaan pengunjung selain menangani kemalangan daripada berulang.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 4:34am
d