mutakhir

Direman enam hari [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

PENGARAH syarikat berusia 57 tahun ditahan reman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian sebuah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC) di Kuching, Sarawak pada 2014.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang juga pemilik hotel ditahan di pejabat SPRM Kuching kira-kira 1.30 tengah hari semalam.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit melantik ejen untuk menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Semalam, dua lelaki masing-masing berusia 47 dan 51 tahun ditahan di pejabat SPRM Putrajaya apabila hadir untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan.

Kedua-dua mereka adalah pengarah syarikat yang menguruskan pembelian hotel berkenaan.

Mereka turut direman selama tujuh hari oleh mahkamah sama sehingga 4 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 12:49pm
d