mutakhir

Tak pernah serik

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

BARU sebulan keluar daripada penjara, seorang lelaki ditangkap polis bersama 1,400 pil kuda bernilai RM21,000 di Kampung Sedar, Tumpat, 7.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tumpat Superintendan Nik Azlan Nik Ibrahim berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan selepas dikejar sejauh 10 kilometer dari Kampung Kebakat.

Beliau berkata, sebelum kejadian, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat melakukan Op Tapis dan menghampiri kereta suspek yang diletakkan di pinggir jalan Kampung Kebakat.

"Apabila cuba didekati suspek yang berasal dari Pengkalan Chepa melarikan diri dan dikejar sejauh 10 kilometer.

"Dia berjaya ditangkap dan pemeriksaan menemui tujuh paket plastik biru berisi pil kuda di dalam beg galas lelaki terbabit.

"Siasatan awal juga mendapati suspek baru dibebaskan daripada hukuman penjara dan mempunyai dua rekod jenayah berkaitan dadah," katanya dalam sidang media di IPD Tumpat, hari ini

Nik Azlan berkata, suspek ditahan reman tujuh hari sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, dia juga didapati aktif mengedar dadah di sekitar daerah ini dan Kampung Demit, Kubang Kerian.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 3:31pm
d