mutakhir

Pegawai polis rasuah dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PEGAWAI polis berpangkat Inspektor ditahan selepas disyaki menerima rasuah bagi membebaskan seorang suspek kes culik, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, pegawai berkenaan yang berusia 32 tahun bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Dia yang ditahan di IPD Gombak, Khamis lalu direman selama seminggu bermula 27 Julai hingga 3 Ogos ini bagi disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, jumlah wang yang diterima pegawai terbabit masih dalam siasatan.

Pada 26 Januari lalu, polis menahan lima warga tempatan berusia antara 22 hingga 35 tahun selepas disyaki terbabit menculik seorang pengurus syarikat pemborong runcit dan pengangkutan berusia 33 tahun di Bandar Country Homes, Rawang.

Polis turut berjaya menemui wang tebusan sebanyak RM300,000 yang diminta suspek daripada keluarga mangsa.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 9:14pm
d