mutakhir

Mata Alfieya tidak lagi kuning

Oleh Mary Victoria Dass

PENGHIDAP Biliary Atresia Alfieya Masri berusia setahun yang menjalani pembedahan pemindahan hati di Hospital Renji di Sekolah Perubatan Universiti Jiao Tong, Shanghai, China pada 16 Jun lalu selamat tiba di Johor Bahru hari ini.

Ibu kanak-kanak itu, Azreena Ahmad, 36, berkata keadaan kesihatan anaknya bertambah baik selepas menerima hatinya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana hasrat dan ikhtiar terakhirnya bagi menyelamatkan nyawa anaknya menerusi pemindahan 20 peratus hatinya berjaya.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT dan bagi semua yang membantu kami termasuk Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia dan penaungnya iaitu Datin Fairoz Ishak. Saya hargai jasa mereka hingga akhir hayat.

"Bagi rakan saya yang sanggup menjual kereta BMW 328i miliknya bagi menampung sebahagian kos pembedahan Alfieya serta pembaca Harian Metro yang menyalurkan sumbangan khas, hanya Allah mampu membalasnya.

"Kuning di mata Alfieya juga sudah hilang dan kami berharap kesihatan lebih baik serta membesar sebagai anak soleh," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, hari ini.

Norazreena bersama suami, Masri Moien, 36, dan bayinya berlepas ke China, 23 Mei lalu.

Pada 19 Mei lalu Harian Metro memaparkan kisah Alfieya, penghidap Biliary Atresia yang memerlukan dana bagi pemindahan hati.

Keluarga itu turut dibantu Baitulmal Johor, Persatuan Kebajikan Kasih Sayang Aixin, Kulai, Persatuan Amal Shan Xin Kajang, Selangor, Persatuan Bikers Ducati Johor dan Kuala Lumpur selain ahli keluarga.

Ketika berusia tiga bulan, Alfieya menjalani pembedahan pintasan hati di Hospital Sultanah Aminah (HSA) namun penyakitnya tidak sembuh.

Norazreena tidak mampu mengambil insurans bagi Alfieya kerana bayi itu dilahirkan pramatang dan menghidap penyakit kronik.

Disiarkan pada: July 30, 2017 @ 9:49pm
d