mutakhir

1,000 diperiksa, 391 saman dikeluarkan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KIRA-kira 1,000 penunggang motosikal diperiksa, manakala 391 saman dikeluarkan dalam Operasi Tutup (Op Tutup) skala besar membabitkan motosikal yang dijalankan di Jalan Raja Laut menghala ke Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Nadzri Hussain berkata, antara kesalahan yang dikeluarkan saman adalah tiada lesen, cukai jalan tamat tempoh dan tiada nombor pendaftaran.

"Dalam operasi itu, kami turut menahan seorang lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes kecurian motosikal di Sentul dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi yang bermula kira-kira 9 malam itu menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih dua kilometer di laluan berkenaan berikutan semua penunggang dan pembonceng motosikal diarahkan berkumpul di lokasi terbabit untuk pemeriksaan.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 1:55am
d