mutakhir

'Buat pekak' minta tangguh

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

Klang: “Selama 30 tahun saya duduk dan berniaga makanan di sini, kenapa layan saya sebegini,” kata Jailani Ramlee, 63.

Dia antara beberapa pemilik gerai yang dirobohkan pihak berkuasa di Jalan Benteng, Kampung Delek, di sini, Selasa lalu.

Menurutnya, selama ini dia bersama peniaga lain tidak diganggu namun sedih dengan tindakan berkenaan.

“Ketika aktiviti merobohkan gerai saya dilakukan, saya merayu diberikan beberapa jam untuk mengangkut barang keperluan keluar tetapi permintaan saya tidak diendahkan.

“Jika hendak melawan saya bimbang diambil tindakan,” katanya.

Selain gerainya, 14 struktur lain dirobohkan termasuk reban ayam dan kedai runcit yang didirikan tanpa kebenaran atas tanah rizab kerajaan negeri.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDTK) berkata, struktur itu dibina di atas tanah projek tebatan banjir dan pembinaan kolam takungan Telok Gadong.

Beliau berkata, 15 struktur binaan didirikan di atas rizab yang terbabit dalam projek itu.

“PDTK sudah mengeluarkan notis 425 pendudukan tanpa kebenaran kepada semua pemilik itu pada 21 Jun lalu untuk penduduk membuka atau mengosongkan struktur binaan itu bagi melancarkan pembinaan projek terbabit.

“Namun, selepas notis tamat tempoh, PDTK mendapati struktur itu masih seperti sedia kala dan mesyuarat penyelarasan diadakan bersama agensi serta pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan bagi menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Menurutnya, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK), polis, Jabatan Veterinar serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 8:39am
d