mutakhir

'Kita sedia beri bantuan'

Oleh BERNAMA

Petaling Jaya: Malaysia menyatakan sokongannya terhadap tindakan Arab Saudi meningkatkan kawalan keselamatan di dua kota suci, Makkah dan Madinah, susulan serangan peluru berpandu balistik yang dilancarkan puak Houthi Yaman berhampiran Makkah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia juga menyokong usaha ketenteraan yang dilakukan sekutu Arab Saudi terhadap ibu negara Yaman, Sanaa, susulan serangan kumpulan pemberontak itu.

“Dalam hal ini, kita tetap bersama-sama dengan kerajaan Arab Saudi khususnya Raja Salman yang amat prihatin dengan keadaan jemaah haji yang berada di dua kota suci itu sekarang.

“Kita boleh berbeza pendapat tetapi bukan dengan cara mengorbankan kedua-dua kota suci...apatah lagi dengan mengorbankan jemaah haji dari pelbagai negara,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata walaupun serangan itu dapat dipatahkan namun ia sememangnya membimbangkan Malaysia kerana jemaah negara kini berada di dua kota suci itu bagi menunaikan ibadat haji.

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga bersedia menawarkan bantuan kepada Arab Saudi bagi memastikan keselamatan Makkah dan Madinah.

“Kita bersiap siaga untuk membantu Arab Saudi dalam keadaan apa sekali pun dan mudah-mudahan Arab Saudi tidak bersendirian dalam menghadapi permasalahan ini,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, pasukan keselamatan Arab Saudi memintas sebuah peluru berpandu balistik yang disasarkan 69 kilometer dari Makkah di kawasan Al-Wasliya di Wilayah Yaif.

Menurut laporan media antarabangsa, puak Houthi mengesahkan melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan itu.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 9:41am
d