mutakhir

Tiga beradik kembali ke sekolah selepas setahun

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Tiga daripada empat beradik di Kampung Baru, Mukim Siong, Baling yang tercicir persekolahan sejak setahun lalu mula memasuki alam persekolahan, semalam.

Nursyakirah Abdullah, 11, Mohd Izat, 10, dan Mohd Adam, 8, mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Siong, tiga kilometer dari rumah mereka.

Urusan persekolahan dilakukan Kaunselor Organisasi Pejabat Pelajaran Baling/Sik, Mohd Nazri Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Shahbudin Dain serta Penghulu Mukim Siong, Mohd Yusof A Rasid yang turut menghantar kanak-kanak itu ke sekolah.

Nursyakirah berkata, mereka tiga beradik bangun awal kerana bersemangat untuk belajar selepas sekian lama tidak menjejakkan kaki ke sekolah.

Menurutnya, selepas membeli pakaian sekolah, dua hari lalu dan berjumpa Pegawai Daerah Baling, Md Shuhaime Abd Rahman yang memberi semangat untuk membantu mereka adik-beradik membuatkan dia bertekad belajar bersungguh-sungguh.

“Tahun depan, saya akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengulang kaji pelajaran yang tercicir,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Md Shuhaime Abd Rahman berkata, kanak-kanak berkenaan dijadikan anak angkat Pejabat Daerah Baling dan akan membiayai wang saku RM100 sebulan kepada setiap kanak-kanak itu.

Beliau berkata, wang itu diuruskan Guru Besar supaya ia dapat digunakan dengan betul, termasuk apa-apa keperluan pelajaran di sekolah.

“Kita membantu supaya mereka tidak tercicir lagi kerana kemiskinan sehingga berhenti sekolah.

“Kita berharap mereka menjadi insan berguna pada masa depan bagi mengubah kehidupan keluarga,” katanya.

Md Shuhaime berkata, melalui program anak angkat, pihaknya menyasarkan 100 orang bagi membantu mereka yang tercicir.

“Program anak angkat yang dilancarkan Jun lalu bertujuan membantu anak-anak yang bermasalah seperti susah, anak luar biasa dan anak daripada keluarga yang bermasalah sehingga anak mereka terabai.

“Kita membantu pada peringkat sekolah rendah saja apabila bersekolah menengah, kita tidak lagi membantu,” katanya.

Tiga adik-beradik itu turut menerima bantuan persekolahan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling.

Harian Metro 24 Julai lalu melaporkan, empat adik-beradik di Kampung Baru, Mukim Siong, di sini, terpaksa berhenti sekolah sejak setahun lalu akibat kemiskinan hidup dan masalah keluarga.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 10:00am
d