mutakhir

Rohana Timbalan Ketua Polis baru Perlis

Oleh BERNAMA

TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Rohana Omar, dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Muhammad yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur berkuat kuasa esok.

Majlis serah-terima tugas berlangsung di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perlis di Kangar, disaksikan Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias.

Rohana sebelum ini pernah berkhidmat di Perlis sebagai Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik pada Mei 2004 hingga Ogos 2008 sebelum berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Anak jati Kedah itu berharap semua warga PDRM Perlis dapat memberi tunjuk ajar dan kerjasama penuh kepada beliau agar kontinjen negeri dapat terus memantapkan peranan memelihara keamanan.

“Saya mengalu-alukan segala pandangan dan pembabitan semua pihak dalam pelaksanaan tugas kepolisan demi meningkatkan keyakinan rakyat kepada perkhidmatan PDRM khususnya di Perlis," katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 12:48pm
d