mutakhir

Adik, kakak maut tersepit

Oleh Farah Suhaidah Othman

DUA beradik maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler membawa kenderaan di Kilometer 290.5, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Simpang Pulai, Ipoh, hari ini.

Kemalangan dipercayai berlaku 2.45 pagi itu, mengakibatkan Gurvider Singh, 22, dan kakaknya, Simrandeep Kaur, 25, maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit dalam kereta Perodua Bezza dinaiki mereka.

Mangsa lelaki yang memandu kereta berkenaan masih belum dikenal pasti namun dilaporkan turut cedera.

Dua lagi lelaki yang menaiki Perodua Myvi serta pemandu treler tidak cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 2.51 pagi.

“Ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, kereta Myvi didapati terbalik di atas jalan dan ada dua mangsa menaiki kereta itu namun mereka tidak cedera.

“Perodua Bezza dipercayai merempuh penghadang jalan dan dua daripada tiga mangsa di dalamnya tersepit.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit itu disahkan maut di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 2:21pm
d