mutakhir

Langgar peragut, polis utama keadilan

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

POLIS akan memberi pertimbangan sewajarnya dalam siasatan kes seorang lelaki warga Yaman yang ditahan kerana melanggar mati seorang peragut dalam kejadian di Seri Kembangan, Serdang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan dan keputusan kes berkenaan perlu adil terhadap suspek yang sudah meninggal dunia serta mangsa yang bertukar menjadi suspek.

"Kita akan lengkapkan kertas siasatan dalam tempoh tujuh hari reman ini dan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk diberi pertimbangan sewajarnya dan adil untuk semua pihak," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Lagu PDRM Cemerlang dan Penyerahan Bendera Majlis Sukan PDRM sempena World Police and Fire Games 2017, hari ini .

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata, mangsa daripada perbuatan jenayah dan dalam kejadian kelmarin, dia sudah bertindak melampaui dari hak mempertahankan diri.

Katanya, ada peraturan serta kaedah untuk membuat tangkapan dan bila kekerasan boleh digunakan.

"Dalam kes kelmarin, berlaku kecurian biasa dan mangsa berusaha untuk mendapatkan semula barangnya.

"Namun, berlaku kejadian yang melebihi tindakan sepatutnya sewaktu dia cuba mendapatkan barangnya semula," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi kelmarin, seorang peragut lelaki berusia 25 tahun maut di lokasi kejadian, apabila motosikal ditunggang dilanggar mangsa seorang penuntut kolej warga Yaman dalam kejadian berhampiran persimpangan lampu isyarat di sebuah pangsapuri di Seri Kembangan.

Sementara itu, Noor Rashid berkata, seramai 71 atlet dihantar untuk menyertai enam acara dalam World Police and Fire Games 2017 di Los Angeles, Amerika Syarikat 7 hingga 16 Ogos ini.

Katanya, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan 35 pingat emas dan pertambahan 10 peratus pingat perak serta gangsa.

"Enam acara yang disertai ialah golf, karate, tenping boling, berbasikal, badminton dan bina badan," katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2017 @ 9:18pm
d