mutakhir

Seludup rokok ikut udara

Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 2,145,000 batang rokok melalui jalan udara membabitkan anggaran cukai RM1.08 juta, Jumaat lalu.

Rokok pelbagai jenama yang tiba melalui penerbangan kargo dari Phnom Penh, Kemboja itu dirampas pada jam 10.30 malam di depan Pos Malaysia International Hub semasa cuba dibawa keluar menggunakan sebuah lori yang dipandu seorang warga tempatan berumur 49 tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Kastam Datuk Zulkifli Yahya berkata pemeriksaan lanjut ke atas lori dan pemandu yang telah membuat pengikraran di Bahagian Pemeriksaan Kargo Import itu mendapati dokumen yang dibawa oleh suspek adalah berlainan daripada dagangan yang dibawa.

“Modus operandi sindiket tersebut ialah membawa dokumen yang berlainan daripada dagangan yang dibawa setelah melakukan pengikraran dengan kastam,” katanya.

-BERNAMA

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 3:00am
d