mutakhir

Belum sah 'halal'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd mengalu-alukan persaingan sihat namun perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar tidak boleh mengatakan mereka halal kerana belum tertakluk di bawah peraturan dan kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Penasihat syarikat teksi itu Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan mendakwa perkhidmatan e-hailing dibenarkan beroperasi kerana diluluskan pada sesi Dewan Rakyat.

“Ini kerana, kelulusan akta itu baru di peringkat Dewan Rakyat dan belum lagi dibentangkan di Dewan Negara untuk pelaksanaan akta yang dibentangkan SPAD atau kerajaan bagi menukar atau mengaktifkan akta berkenaan.

“Jadi adalah tidak patut mengatakan syarikat perkhidmatan e-hailing ini sudah boleh beroperasi sedangkan hanya fakta itu dibentangkan di Dewan Negara barulah syarikat e-hailing boleh pergi ke pejabat SPAD untuk bentangkan aplikasi masing-masing dan memohon lesen yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di pejabat Big Blue Taxi di sini semalam.

Beliau mengulas mengenai Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 yang dibentangkan secara berasingan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, diluluskan tanpa pindaan di Dewan Rakyat, Khamis lalu.

Perkhidmatan e-hailing, termasuk disediakan lima syarikat tempatan seperti Pick N Go, Zepp On, EZCab, Riding Pink dan JCab tertakluk di bawah peraturan dan kawal selia SPAD dan LPKP selepas dua rang undang-undang itu diluluskan di Dewan Negara dan diwartakan.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Nancy dilaporkan berkata, peraturan dan undang-undang ke atas penyedia perkhidmatan e-hailing dikuatkuasakan dalam tempoh setahun selepas beberapa terma dan syarat dimuktamadkan.

Mengulas lanjut Shamsubahrin berkata, masih banyak isu berkaitan perlu diperhalusi oleh agensi pelaksana berkaitan sebelum e-hailing beroperasi di negara ini.

“Antaranya Lesen Pengangkutan Kenderaan Awam (PSV), kebajikan dan keselamatan penumpang selain sistem pemantauan khusus e-hailing.

“Bagaimana pula cara perkhidmatan itu membuat tapisan tentang latar belakang pemandu teksi mereka untuk menjamin keselamatan daripada dikasari atau menjadi mangsa jenayah seperti yang pernah berlaku sebelum ini?” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan mereka sudah bersedia dari pelbagai aspek untuk berhadapan dengan perkhidmatan teksi menggunakan aplikasi termasuk mewujudkan pusat pemantauan pemandu e-hailing sebagai langkah pencegahan perkara tidak diingini.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 3:13am
d