mutakhir

19 projek terbengkalai

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya pegawai yang tidak mematuhi peraturan kewangan dalam Projek Desa Lestari (PDL), dikenakan tindakan tatatertib bagi memastikan projek itu diuruskan dengan teratur dan cekap.

Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 itu membuat syor berkenaan ke atas pegawai yang memecah kecil perolehan, menyalah guna kuasa dan membuat bayaran tidak teratur selepas 19 daripada 84 projek PDL berjumlah RM5.32 juta didapati terbengkalai.

PDL yang diwujudkan sejak 2013 di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan aktiviti keusahawanan, selain mewujudkan peluang pekerjaan baru kepada masyarakat setempat.

Menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam, KKLW disyor supaya mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi memastikan koperasi yang berdaftar mematuhi Akta Koperasi 1993 sebelum diberi geran peruntukan Desa Lestari.

Laporan itu menyatakan hasil semakan terhadap 12 koperasi yang bertanggungjawab sebagai peneraju PDL mendapati ia berpunca daripada beberapa faktor termasuk tiada kepakaran, peralatan yang masih tidak digunakan, tiada bekalan elektrik dan kurang permintaan serta persaingan daripada pengusaha lain.

Menurut laporan itu, antara projek terbabit adalah penyembelihan dan jualan ayam pedaging, sewaan kanopi dan katering, pengangkutan dan pemotongan rumput, percetakan cenderamata, ternakan lembu dan kambing fidlot, ternakan ikan air tawar, semaian anak benih sawit dan chalet kabin.

Sehingga 2016, sebanyak 80 kampung terpilih melaksanakan PDL dengan peruntukan RM114.68 juta disalurkan melalui agensi KKLW seperti Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 3:36am
d