mutakhir

Bakat istimewa yang tak didendang [METROTV]

Oleh Ridhatul Rizki

"KAMI harap seni ventriloquism ini mendapat pengiktirafan yang sama seperti bidang seni yang lain kerana bakat seperti ini sering diketepikan."

Itu kata kembar ventriloquist, Mohd Syazrul Nizam Matusin dan Mohd Syazwan Nizam

Matusin, 28, yang tular di Facebook (FB) selepas memuat naik video mereka menyanyi dan meniru suara beberapa penyanyi tempatan termasuk Saleem, Ramli Sarip dan Anuar Zain.

Video berdurasi 2 minit 51 saat terbabit tular sejak 26 Julai lalu dan telah dikongsi sebanyak 2,808 kali.

Mohd Syazrul berkata, rakyat Malaysia kurang menghargai bakat unik ini yang mana ventriloquist bercakap atau menyanyi tanpa menggerakkan bibir seolah-olah suara itu datang daripada patung atau 'dummy' yang digunakan.

"Jika kami memuat naik video persembahan kami di FB, kami dapati orang luar seperti di Indonesia dan negara barat lebih menghargai bakat kami.

"Sudah tujuh tahun kami terlibat dalam bidang ini, namun agak sukar untuk mendapat tempat dalam industri seni tanahair," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Mohd Syazwan pula, mereka menjadikan Ventriloquist pertama Malaysia, Sheikh Mahadi Ahmad Baladram atau lebih dikenali dengan nama Pakcik Jalud sebagai inspirasi mereka.

"Selain Paul Zerdin, Allahyarham Pakcik Jalud adalah sumber inspirasi kami. Kami nekad untuk meneruskan kerjaya dalam bidang seni ini kerana memikirkan bakat sebegini kurang dihargai," katanya.

Kembar yang menggunakan nama Wan Rul Puppet Bro Akustik di FB, sering mengadakan persembahan bersama dua 'dummy' mereka yang diberi nama Buntak dan Awang.

Menurut Mohd Syazwan, Buntak memiliki perwatakan yang nakal dan ceria, manakala Awang lebih pendiam.

"Buntak dan Awang mewakili personaliti sebenar kami. Bagaimana perwatakan Buntak dan Awang di atas pentas, begitu jugalah personaliti kami di luar," katanya.

Tambah Mohd Syazwan, mereka sudah dua kali dijemput menyertai Asia's Got Talent iaitu pada tahun ini dan 2016.

"Sebelum ini kami belum bersedia untuk bertanding di peringkat Asia. Jika ada peluang untuk sertai program itu pada tahun hadapan, kami akan mempersiapkan diri dan mendalami lebih banyak lagu Inggeris dan lawak yang bertaraf antarabangsa," katanya.

Mengenang kembali pembabitan awal mereka dalam bidang ini, Mohd Syazwan berkata, ia bermula ketika dia berusia 15 tahun.

"Saya pernah menonton satu program yang menampilkan Paul Zerdin sebagai tetamu jemputan dalam program terbabit. Dari situ minat dalam bidang ini timbul tetapi berhenti sekerat jalan kerana untuk menghasilkan suara tanpa menggerakkan bibir agak susah.

"Selepas tamat persekolahan, saya belajar bagaimana melakukan ventriloquism menerusi Youtube. Saya menjadi lebih bersemangat apabila arwah ayah menghadiahkan saya Buntak yang dibelinya daripada Amerika Syarikat secara dalam talian," katanya.

Mohd Syazwan berkata, mereka sering menerima jemputan untuk mengadakan persembahan di majlis korporat di Sabah.

"Sejak awal pembabitan sehingga kini, kami sering menerima jemputan persembahan di majlis korporat selain mengadakan persembahan di kaki lima atau 'busking' di sekitar Beaufort, Sabah.

"Kami berharap pada masa akan datang persembahan ventriloquism mendapat tempat dalam majlis hiburan arus perdana," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2017 @ 10:36pm
d