mutakhir

Pantau cara TEKUN

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur : Pemantauan teliti terhadap proses bayaran balik pinjaman oleh usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) perlu dilakukan bagi memastikan kadar pembiayaan dapat ditingkatkan selain mengurangkan bebanan hutang kerajaan.

Profesor Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Dr Razli Che Razak berkata, prosedur operasi standard (SOP) TEKUN Nasional juga perlu dikaji semula ekoran terdapat beberapa kelemahan seperti yang dibentangkan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat, kelmarin.

Menurut laporan itu, prestasi kewangan TEKUN Nasional bagi 2013 hingga 2015 didapati kurang memuaskan kerana bebanan hutang kepada kerajaan dan hapus kira hutang lapuk usahawan yang tinggi selain kerugian terkumpul RM209.28 juta pada akhir 2015.

Dr Razli yang juga Ahli Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, pemantauan terhadap pinjaman serta projek perniagaan yang diusahakan usahawan dapat menentukan daya mampu mereka untuk membuat bayaran balik.

“Kebanyakan peminjam yang tidak dapat membayar balik adalah usahawan yang gagal dalam perniagaan masing-masing dan untuk mengatasinya, penilaian keberkesanan pembiayaan perlu dilaksanakan.

“Dalam hal ini, saya bersetuju dengan teguran Ketua Audit Negara berkenaan amalan tadbir urus korporat yang kurang memuaskan, selain berlakunya kelemahan kawalan dalaman bagi aspek bayaran balik.

“Semua aspek itu perlu diberi tumpuan kerana ia membabitkan jumlah hutang yang besar dan wang itu dapat digunakan bagi membantu lebih ramai usahawan yang memerlukan,” katanya mengulas mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, kelmarin.

Menurut laporan itu, audit mendapati tiada kajian menyeluruh dijalankan untuk menilai keberkesanan penggunaan dana oleh usahawan.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 10:06am
d