mutakhir

Teknologi MARDI kawal penyakit tanaman betik

Oleh Samadi Ahmad

Dengkil: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan teknologi Kerinting Sistemik Teraruh atau Induced Systemic Resistance (ISR) bagi kawalan tanaman betik yang pertama di dunia.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sharif Haron berkata, teknologi itu satu teknik pengaruhan kerinting dan ketahanan pokok betik melalui inokulasi atau aplikasi bakteria bermanfaat ke akar pokok.

“Ia juga bersifat mesra alam kerana tidak mempunyai bahan kimia berbahaya untuk kawalan penyakit.

“Kajian ISR ini diadakan selama enam tahun dan teknologi ini terbukti dapat mengawal penyakit mati rosot dengan berkesan sehingga mencapai kejayaan 95 peratus,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Pakej Teknologi ISR-Adjustable Volume Liquid Gun (AVLG), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek dan Pengarah Urusan Exotic Star (M) Sdn Bhd (Exotic Star), Jeff Choong.

Pada majlis yang sama, Nogeh turut menyaksikan pertukaran dokumen persefahaman (MoU) antara MARDI dan Exotic Star bagi memperkasa industri betik negara melalui kawalan penyakit mati rosot.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 10:08am
d