mutakhir

Uber dah 'halal'

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Biarpun dua rang undang-undang berkaitan perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan GrabCar belum diluluskan di Dewan Negara dan diwartakan namun ia masih boleh dilaksanakan berlandaskan persetujuan yang dicapai oleh semua pihak apabila ia diluluskan di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, proses untuk undang-undang itu akan diteruskan bagi menyediakan satu platform sama kepada perkhidmatan teksi dan e-hailing berkenaan sebagai satu usaha kerajaan memperkasakan ekonomi digital.

“Selepas diluluskan di Dewan Rakyat, ia kemudian akan ke Dewan Negara sebelum diwartakan. Namun, pada masa sekarang juga ‘semangat’ kepada undang-undang itu sudah ada (selepas diluluskan di Dewan Rakyat) dan undang-undang itu sudah dipersetujui oleh semua pihak.

“Kita boleh laksanakan apa yang sudah dipersetujui oleh semua pihak, tetapi undang-undang akan tetap diteruskan. Menerusi perkhidmatan e- hailing, ia akan menyediakan satu platform sama kepada teksi juga sebagai usaha memperkasakan ekonomi digital,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Blossom Arts Festival 2017 di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Presiden Majlis Perundingan Budaya dan Seni Cina Malaysia (MCCACC) Datin Paduka Chew Mei Fun.

Akhbar semalam melaporkan, Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd mengalu-alukan persaingan sihat namun perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan Grabcar tidak boleh mengatakan mereka halal kerana belum tertakluk di bawah peraturan dan kawal selia Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Penasihat syarikat teksi itu Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya menerima banyak aduan mendakwa perkhidmatan e-hailing dibenarkan beroperasi kerana diluluskan pada sesi Dewan Rakyat.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 10:11am
d