mutakhir

Kayak solo keliling Pulau Mutiara

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Sempena Hari Kebangsaan 2017, seorang pesara tentera melaksanakan misi berkayak secara solo mengelilingi Pulau Pinang selama tiga hari sejauh 80 kilometer bermula di Pangkalan Jabatan Laut, Batu Uban di sini, semalam.

Murad Mohd Kassim, 47, berkata, misi berkayak secara solo itu tercetus bagi menguji sejauh mana kekentalan mental dan fizikal diri mengharungi cabaran di perairan Pulau Pinang yang tidak pernah ditakluki sebelum ini secara bersendirian.

Beliau yang juga jurulatih kayak di Universiti Sultan Azlan Shah, Perak menjalani latihan antara dua hingga tiga jam sehari dengan berkayak sekitar Kuala Kangsar sebagai persiapan awal di samping berpengalaman selama enam tahun berkayak secara solo.

Katanya, dalam misi selama tiga hari bermula semalam, dia akan berkayak bermula dari Batu Uban- Tanjung-Tanjung Tokong- Tanjung Bungah-Batu Feringghi-Teluk Bahang-Balik Pulau-Kuala Sungai Pinang - Gertak Sanggul-Teluk Kumbar-Bayan Lepas dan kembali ke Batu Uban.

“Saya berharap misi kemerdekaan ini akan tercapai dengan jayanya seperti mana kejayaan misi mengelilingi seluruh negara dari Perlis ke Pengkalan Kubur, Kelantan pada 2015 dan misi ini adalah misi kelapan dilakukan secara solo.

“Saya berhasrat untuk melaksanakan misi berkayak secara solo ke China dan Australia tidak lama lagi selain mencipta beberapa rekod baru peribadi diri,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Jabatan Laut semalam.

Majlis Pelepasan Berkayak Secara Solo Mengelilingi Pulau Pinang disempurnakan Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara Norazlina Noordin.

Murad berkata, tidak dinafikan pelbagai dugaan dan cabaran akan ditempuhi terutama ombak kuat dan sebagainya, malah dia perlu tabah dan kuat menghadapi segala dugaan.

Menurutnya, selain berbekalkan kekuatan fizikal dan mental, dia berserah kepada Allah SWT supaya dapat melaksanakan misi berkenaan dengan selamat dan berjaya.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 10:47am
d