mutakhir

Seluk beg tangan di pusat beli-belah

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Seorang wanita dirakam licik mencuri barangan berharga daripada tas tangan pelanggan sebuah pusat beli-belah di Jalan Imbi, di sini, ketika mereka sibuk membeli-belah.

Kegiatan wanita terbabit dirakam litar tertutup (CCTV) unit keselamatan pelanggan pusat itu, Jumaat lalu.

Melalui rakaman berdurasi satu minit 27 saat itu yang turut tersebar di laman sosial, wanita terbabit didapati menyasarkan pelanggan yang membawa tas tangan, selain berada di kedai yang sibuk.

Mangsa yang dipercayai wanita warga Asia Barat dikatakan sedang mencuba produk kosmetik di sebuah kiosk sebelum wanita terbabit mendekatinya.

Ketika kejadian, ada sembilan wanita di kios itu termasuk pekerja. Keadaan agak sibuk manakala pelanggan mula berhimpit.

Wanita terbabit meninjau sekeliling sebelum membuka beg dibawanya. Dia kemudian menyeluk tas tangan mangsa.

Beberapa saat kemudian, wanita itu dapat mengambil sesuatu daripada beg tangan mangsa sebelum memasukkannya ke dalam beg sandang miliknya lantas beredar dari lokasi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya tidak menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Saya menasihati mangsa supaya membuat laporan dan siasatan boleh dijalankan. Pelanggan di pusat beli-belah juga diminta lebih berhati-hati membawa barang berharga ketika membeli-belah,” katanya.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 10:53am
d