mutakhir

KDN haramkan lapan terbitan

Oleh Hayati Ibrahim

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan terhadap lapan penerbitan kerana terdapat kandungan yang memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai serta memudaratkan moral dan kepentingan awam.

“Lima penerbitan mengandungi fakta mengelirukan dan bertentangan dengan ajaran serta akidah Islam mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negara ini," katanya dalam kenyataan media di Putrajaya, hari ini.

Alwi berkata, tajuk penerbitan itu ialah Semasa Dalam Risalah: Hukum Barat Pun Islam; Isu Semasa Dalam Risalah: Konsep Kebebasan dan Agama; Menuju Reformasi Perundangan Islam; Zainab Srikandi Cucu Baginda Muhammad SAW dan Imam Mahdi Yang Ditunggu serta Malapetaka Akhir Zaman.

Beliau berkata, dua lagi penerbitan yang mempunyai unsur menghina agama Islam dan negara serta mungkin memberi implikasi negatif pada keselamatan negara.

Katanya, tajuk penerbitan itu ialah Al-Yahud: Eternal Islamic Enmity & The Jews dan From Majapahit to Putrajaya: Searching for Another Malaysia.

“Satu lagi penerbitan bertajuk Saucy Seaside Postcards dilihat mempunyai isi kandungan atau artikel berunsur seks serta memuatkan gambar lucah keterlaluan yang tidak sesuai dengan norma kehidupan masyarakat negara ini.

Sehubungan itu, Alwi berkata, pihak yang mencetak, mengimport, menghasil, menghasil semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengedar, menawarkan untuk menjual atau ada dalam milikan untuk apa saja maksud boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan seperti ditetapkan mengikut Seksyen 8 (2) Akta 301.

Orang ramai boleh menghubungi Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN di talian 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau di laman sesawang http://moha.spab.gov.my untuk membuat aduan atau pertanyaan.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 10:55am
d