mutakhir

Ambil dokumen berkaitan pembelian dua hotel

Oleh Norizuan Shamsuddin

SEPASUKAN pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengunjungi Menara Felda, Kuala Lumpur, hari ini, bagi mengambil beberapa dokumen untuk membantu siasatan pembelian dua hotel oleh Felda Invesment Corporation (FIC) di Kensington, London dan di Kuching, Sarawak.

Pasukan penyiasat yang dianggotai empat pegawai SPRM tiba di Menara Felda dan memasuki bangunan berkenaan pada 10.17 pagi.

Petugas media yang mendapat maklumat berkumpul di pintu masuk utama bangunan sejak 9 pagi untuk membuat liputan perkembangan terkini berhubung siasatan terbabit.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel di Kuching yang disyaki dibeli dengan harga lebih tinggi daripada pasaran.

Sehingga kini, empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan pada 2014.

SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 11:16am
d