mutakhir

Melecur bahu selamatkan keluarga [METROTV]

Oleh Shamsudin Husin

LELAKI berusia 37 tahun melecur di bahu kiri ketika menyelamatkan ahli keluarga selepas rumah bapa mentuanya di Seri Bandi, Chukai, terbakar 2.30 pagi hari ini.

Sheikh Amiruddin Sheikh Ab Rahman cedera terkena percikan api ketika menyelamatkan isteri, Zuhaniza Abd Hamid, 30, dan empat anak berusia setahun hingga sembilan tahun.

Bapa mentua, Abd Hamid Botok, 61, dan ibu mentuanya, Maimunah Ismail, 56, dan adik ipar Sheikh Amiruddin berusia 24 tahun turut berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian terbabit.

Menurut Sheikh Amiruddin, dia yang tidur di bilik berhampiran ruang tamu bersama isteri dan empat anaknya terjaga selepas terhidu bau hangit.

Katanya, dia mendapati sebuah sofa dan bahagian ruang tamu terbakar lalu mengejutkan isteri dan anaknya.

"Saya menjerit mengejutkan bapa dan ibu mentua yang sedang tidur supaya keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri kerana api merebak dengan cepat.

"Dalam keadaan kelam-kabut menyelamatkan isteri dan anaknya, bahu saya melecur terkena percikan api," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sheikh Amiruddin berkata, bapa mentuanya juga sempat menyelamatkan Toyota Avanza dengan memecahkan cermin kereta itu kerana tidak sempat mengambil kunci sebelum membawanya ke tempat lebih selamat.

Katanya, kejadian itu menyebabkan rumah bapa mentuanya hangus dan dianggarkan kerugian yang dialami menjangkau RM120,000.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, seramai 16 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh dan BBP Kijal bergegas ke lokasi dengan tiga kenderaan.

Menurutnya, pihaknya berjaya memadamkan kebakaran itu sebelum ia merebak ke rumah berhampiran.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 1:24pm
d