mutakhir

7 jam pegawai SPRM penuhkan beg

Oleh Norizuan Shamsuddin

SEPASUKAN pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa hampir tujuh jam untuk mendapatkan beberapa dokumen di Menara FELDA, Kuala Lumpur, berkaitan siasatan pembelian oleh Felda Invesment Corporation (FIC) di Kensington, London dan di Kuching, Sarawak.

Pasukan penyiasat yang dianggotai empat pegawai berkenaan tiba di ibu pejabat FELDA itu dan memasuki bangunan berkenaan pada jam 10.17 pagi.

Mereka dilihat keluar dari menara itu dengan membawa sekurang-kurangnya dua beg dipercayai mengandungi dokumen diperlukan pada jam 5 petang.

Pada Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pembelian hotel di Kuching itu yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi berbanding yang ditawarkan di pasaran.

Sehingga kini, empat individu sudah ditahan bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan pada tahun 2014.

SPRM memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching itu susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London oleh FIC sebelum ini.

Disiarkan pada: August 2, 2017 @ 7:08pm
d