mutakhir

9 ditahan SPRM

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEMBILAN kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang dan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu bauksit di negeri itu, hari ini.

Menurut sumber, dalam tangkapan pertama, SPRM menahan seorang pegawai kanan JKDM berusia 56 tahun di sebuah lokasi di Kuantan, Pahang pada jam 12.15 tengah malam dan kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Katanya, perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret Kuantan pagi hari ini.

"Sembilan lagi kakitangan PTG Pahang yang berusia antara 29 hingga 59 tahun pula ditahan di sekitar Kuantan, Pahang kira-kira 3.30 hingga 3.45 petang hari ini.

"SPRM turut membuat serbuan di PTG Pahang, JKDM, Eksais Diraja serta Pelabuhan Kuantan bagi merampas beberapa dokumen berkaitan," katanya.

Katanya, SPRM sudah menahan 18 lori yang mengangkut bauksit dari lombong haram di sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu, tengah malam semalam.

"Operasi itu dilancarkan susulan SPRM mendapati aktiviti perlombongan secara haram masih berlaku walaupun kerajaan negeri mengarahkan supaya tempoh moratarium dilanjutkan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Dato Seri Ahmad Khusairi Yahya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.

"Kami sudah memantau kegiatan sindiket terbabit sejak beberapa bulan lalu.

"Selepas mengumpul maklumat hasil risikan, kami melancarkan operasi itu sejak malam semalam," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 12:21am
d