mutakhir

Kelindan maut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG kelindan maut selepas lori dinaikinya terbabas dalam kemalangan di Kilometer 16.1 Jalan Turun Genting Highlands menghala Kuala Lumpur kira-kira 8 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, lori muatan peti besi itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Batu Caves, Selangor.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dinaiki mangsa, Adnan Mat Jidin, 50, hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok batu menyebabkan kenderaan itu terbalik.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands Yusri Abdullah Sani berkata, seramai enam anggota bersama satu jentera ke lokasi kejadian.

"Kami mengambil masa lebih 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit," katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 12:31am
d