mutakhir

Penuhi trend anak muda

Oleh Shaiffulazhar Misri

Melaka: “Sekarang ini sijil atau ijazah bukan lagi jaminan seseorang itu boleh berjaya dalam hidup.

“Kalau mahu berjaya individu terbabit perlu kreatif dan tahu kehendak semasa pasaran.

“Saya sendiri kena kerja keras dan melakukan pelbagai uji kaji sebelum berjaya,” kata Mohd Norazwan Abu Bakar, 30, yang memperoleh pendapatan lumayan dengan mengusahakan kedai mengecat kenderaan.

Pemegang Sijil Asas Mengecat Kenderaan daripada Institut Kemahiran MARA (IKM) Jasin itu berkata, dia terfikir untuk mencipta teknik semburan cat menyerupai gentian karbon menjadi trend semasa pemilik kereta sekarang terutamanya anak muda.

Katanya, ramai berminat menghias kenderaan masing-masing dengan aksesori daripada bahan gentian karbon namun harganya amat mahal.

“Pada 2008 saya jadikan skuter milik sendiri dan rakan sebagai bahan uji kaji sebelum beralih kepada kereta berikutan mendapat maklum balas amat positif.

“Saya kena kerja keras kerana hasil diperoleh pada peringkat awal bukan seperti saya mahukan, kemudian barulah saya berjaya dapatkan tekstur dan warna yang sepadan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Balai Panjang, Malim, di sini, kelmarin.

Mohd Norazwan berkata, untuk mendapatkan tekstur dan corak gentian karbon permukaan yang mahu dicat perlu dibersihkan disimen, disembur warna asas, semburan warna utama dan diakhiri dengan menyapu kilatan.

Dia memberitahu pelanggan bebas memilih corak cat dimahukan dan apa yang lebih penting ianya jauh lebih murah berbanding memberi aksesori daripada bahan gentian karbon.

“Setakat ini, saya menerima tempahan untuk cat bonet depan, panel tepi bonet, but, pintu dan sarung cermin pandang belakang.

“Paling membanggakan saya pernah mengecat pintu lori satu tan menggunakan teknik ini dan teruja selepas menerima maklum balas amat positif daripada pemiliknya yang berpuas hati,” katanya.

Jelasnya, pelanggan mendapatkan perkhidmatan itu tidak terhad kepada penduduk Melaka saja kerana ada yang datang dari Negeri Sembilan, Johor dan Kuala Lumpur.

“Setiap projek mengambil masa agak lama kerana saya pentingkan ketelitian dan warna. Semua ini saya lakukan untuk kepuasan diri selain mencari rezeki halal,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 3:39am
d