mutakhir

Duit umrah hangus

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Seorang penjawat awam bukan hanya hilang simpanan untuk menunaikan umrah, malah wang perbelanjaan cucu saudaranya turut lesap selepas terpedaya dengan individu menyamar kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM).

Kejadian berlaku pada 27 Julai lalu menyebabkan Ab Rahman Mamood, 50, dari Pengkalan Chepa, di sini, rugi RM35,000.

“Saya kesal kerana dalam akaun itu termasuk duit cucu saudara yang juga anak yatim. Saya adalah penyimpan yang diamanahkan untuk menjaga kebajikannya.

“Apabila kejadian ini berlaku, semuanya hilang begitu saja. Saya sangat terkilan. Saya sepatutnya menunaikan umrah tahun ini, tapi semuanya tinggal impian saja,” katanya di pejabat The New Straits Times Press (NSTP), di sini, semalam.

Menurutnya, dia mula mengesan berlaku penipuan apabila menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada bank memaklumkan ada penggunaan kad kredit atas namanya sebanyak RM3,698.45 di pusat beli-belah KLCC pada 3 Julai lalu.

Katanya, pada 27 Julai, dia dilaporkan ada penggunaan RM4,299 di premis menjual barangan kemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menjadikan jumlah keseluruhan RM7,997.45.

“Sedangkan saya tidak mempunyai kad kredit dengan bank itu dan mengesyaki ada pihak yang menyalah guna kad pengenalan saya untuk memohon kad kredit dan menggunakannya secara bebas.

“Disebabkan bimbang disenarai hitam, saya menghubungi nombor telefon bank itu yang disertakan untuk bertanya hal terbabit.

“Pihak itu yang suaranya seakan-akan pegawai khidmat pelanggan sebenar menyuruh saya menghubungi nombor lain yang dikatakan wakil BNM.

“Ketika menghubungi wakil itu, saya diminta ke mana-mana mesin wang automatik (ATM) dan melakukan transaksi berdasarkan arahan individu terbabit. Dalam transaksi itu saya diberi nombor 10 angka untuk membuat tukaran nombor pin yang rupa-rupanya adalah nombor akaun untuk pemindahan wang ke akaun lain,” katanya.

Dia diperdaya melakukan pindahan pertama membabitkan RM26,000 di mesin ATM (Bank Islam) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dan transaksi kedua di lokasi sama (ATM Maybank) berjumlah RM9,000.

Katanya, selepas transaksi berjaya, Ab Rahman diminta menghantar slip transaksi ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu bersama salinan kad pengenalannya.

“Ketika itulah saya berasa ditipu dan membuat pengesahan dengan menghubungi BNM sebenar. Orang itu memperdaya saya dengan mengatakan penukaran nombor pin bagi mengelak wang simpanan saya disonglap,” katanya berharap individu terbabit dikesan segera dan diambil tindakan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil negeri Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita menasihatkan orang ramai tidak terpedaya dengan sebarang SMS atau panggilan telefon yang meragukan bagi mengelak diperdaya,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 4:26am
d