mutakhir

Waspada upah haji

Makkah: Waris yang mahu melaksanakan badal atau upah haji untuk ahli keluarga yang meninggal dunia dinasihatkan mengupah mereka yang benar-benar mampu melaksanakan ibadat itu mengikut hukum syarak.

Pengarah Operasi Bimbingan 1438 Hijrah Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, hukum melaksanakan badal haji ini sebenarnya perlu menggunakan wang atau harta peninggalan si mati.

Menurutnya, selepas ditolak segala hutang piutang, wang atau harta itu boleh digunakan untuk melaksanakan badal haji untuk si mati dan selepas itu, baru baki wang atau harta yang masih ada dibahagikan mengikut faraid dalam kalangan waris yang layak.

“Dalam hal ini, sudah tentu aspek kesempurnaan dan mematuhi hukum syarak perlu diutamakan.

“Jika wang yang perlu dibayar RM3,000 atau RM5,000 untuk badal haji ini, keluarga harus membayarnya asalkan pelaksanaannya sempurna untuk si mati juga,” katanya di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH ) Makkah di Abraj Al Janadriyah, semalam.

Katanya, jika bayaran dikenakan tidak munasabah atau terlalu rendah hanya sekitar RM1,500 yang biasa dicaj kepada orang ramai di tanah air, dikhuatiri pelaksanaannya mungkin tidak sempurna.

Tengku Aziz berkata, TH setiap tahun menguruskan badal haji yang dihadkan untuk 5,000 pemohon bagi menjamin kesempurnaan pelaksanaannya.

“Jika permohonan diterima lebih, ia dilaksanakan pada musim haji berikutnya,” katanya.

Menurutnya, bayaran dikenakan TH adalah RM3,000 dan setakat ini menyerahkan tauliah kepada 3,700 pembadal untuk melaksanakan ibadat itu.

Katanya, mereka yang dilantik TH menjalani proses saringan dan temuduga yang ketat sebelum dipilih dan hanya yang benar-benar layak diberikan tauliah dengan upah SR2,400.

“Bayaran SR1,000 diberikan ketika diserahkan tauliah manakala bakinya diserahkan selepas wukuf sebaik mereka selesai menyempurnakan ibadat umrah dan haji untuk si mati.

“Walaupun mereka dibayar upah SR2,400, ia masih murah, saya tak tahu macam mana kalau di tanah air ada pihak yang hanya mengenakan bayaran RM1,500.

“Kami bimbang sama ada ibadat itu tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna atau lebih teruk mungkin langsung tidak dilaksanakan,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 4:43am
d