mutakhir

Doa anak istimewa sejahtera

Oleh Syazwan Msar

Kelana Jaya: “Saya ingin memohon kepada Allah di depan Kaabah supaya anak bongsu yang menghidap Sindrom Down dapat kesejahteraan dalam hidup apabila ibu bapanya tiada nanti,” kata seorang jemaah haji, Hamzah Abdul Wahab, 56.

Itu antara niat Hamzah apabila dia mendapat berita gembira dipilih mengerjakan haji pada tahun ini, sekali gus penantian lebih 10 tahun akhirnya tercapai.

Hamzah berkata, selain ingin mendapatkan haji mabrur, dia juga ingin berdoa untuk kesejahteraan lima anaknya terutama paling bongsu, Afiq Hamzah, 16, yang menghidap Sindrom Down.

Dia yang bekerja sebagai pengusaha bas sekolah berkata, sememangnya berat untuk meninggalkan anak bongsunya itu lebih-lebih lagi dengan keadaan Afiq yang tidak seperti remaja lain.

“Namun saya berserah serta bertawakal kepada Allah kerana segala-galanya ada hikmah dan rugi jika menolaknya kerana mungkin sukar untuk mendapat peluang menunaikan haji.

“Sepanjang ketiadaan saya nanti, abang dan kakaknya akan menjaga adik mereka malah anak sulung sanggup mengambil cuti sebulan bagi memastikan keperluan Afiq dijaga sebaik mungkin,” katanya di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.

Menurutnya, segala persiapan termasuk perbelanjaan anaknya sudah disediakan sekali gus tiada masalah jika meninggalkan mereka dalam tempoh lama.

“Saya menyimpan dalam tempoh 10 tahun bagi mencukupkan tabungan selain memastikan ada sedikit perbelanjaan untuk anak apabila meninggalkan mereka nanti.

“Hati berat untuk meninggalkan Afiq tapi peluang untuk menjadi tetamu Allah juga bukanlah mudah, oleh itu, saya terpaksa menyediakan keperluan secukupnya untuk dia sebelum berangkat ke Tanah Suci,” katanya.

Selain itu, Hamzah berkata, dia juga sudah melakukan persiapan terperinci merangkumi fizikal dan mental sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Saya adalah guru silat, tidak menjadi masalah jika memerlukan pergerakan yang banyak atau berjalan untuk jarak jauh nanti.

“Pada masa sama, aspek pemakanan juga dijaga dan paling penting setakat ini kesihatan masih berada pada tahap optimum iaitu tiada penyakit kronik,” katanya.

Disiarkan pada: August 3, 2017 @ 4:44am
d